"Kau tahu tak apa malapetaka yang bakal menimpa kalau rahsia ni pecah", kata Mat Sarip sambil memetik pemancis api Zipponya yang dihadiahkan oleh mak we dia si Wafi.
Tak berapa terang apa yang dia cakap, pasal mulut dah kepit rokok keretek Gudang Garam seludup. Tapi memang aku fahamlah apa yang dia cakap.
"Baru je berapa orang tahu dah kecoh dah. Kalau satu negara, satu dunia tahu?" tambahnya lagi.
Aku sengaja diam. Aku memang dah maklum apa yang mungkin terjadi kalau rahsia ni pecah. Chief Palotako dah bagi taklimat petang tadi. Tapi memang dah perangai si Mat Sarip ni suka cakap besar dan berlagak macam Professor Serba Tau. Aku cuma layan sahaja. Kalau aku tak layan nanti putus sahabat pula.
Kami dapat tahu dari Chief tadi, ada seorang remaja dari sebuah kampung di Pengerang, Johor telah berjaya menghasilkan petrol tiruan. Perkara ni masih menjadi rahsia lagi, tapi dah pun sampai ke telinga kami di KL ni. Biasalah, itu sudah tugas kami. Kalau itupun kami tak tahu, ada yang cakap kami ni makan gaji buta pula.
Tapi aku pasti tiada siapa yang akan menuding jari terhadap kami. Tiada siapa yang tahu pasal kami. Organisasi kami ni tak wujud! ANTENA tak wujud! Hanya beberapa individu terpenting sahaja dalam negara ni yang tahu mengenai kami. Anwar Ibrahim pun tak tahu pasal organisasi ni. Kalau dia tahu, memang lagi kecohlah negara. Malah Asia Pacific Anti-Terrorist of Malaysia A.P.A.M pun belum dapat mengesan kami.
Jam dah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku menghabiskan sisa-sisa teh tarik dari cawanku. "Kak kira ni!", aku panggil kak peniaga warung Nasi Lemak Pintu Gerbang tu.
"5.20 sen", katanya setelah mengira secara lebih kurang.
"Eh, apasal mahal pulak kak? Hari tu lain?" Aku kehairanan. Nak cekik darah ke Kakak ni. Kami ni kan pelanggan biasa.
"Biasalah dik, harga barang semua naik. Kalau kami tak naikkan harga, boleh bungkus dibuatnya", ujar kakak tu bersungguh-sungguh mempertahankan tindakannya menaikkan harga.
"Mat keluar 20 sen, aku tak ada siling ni", cakap aku kepada Mat Sarip. Asyik nak makan free aje. Takkanlah dua puluh sen pun tak boleh nak keluar?
"Jom Mat cepat sikit, kita terus nak bertolak ni!"
"Ya lah, aku cepatlah ni", sambil menyeluk-nyeluk kocek seluar jeans buruknya.
Kalau tak silap aku Pengerang tu kawasan Dato' Azalina, sebab tu dia ada masa taklimat tadi. Aish..bukannya dekat dari Kuala Lumpur nak ke Pengerang. Kalau bawa kereta macam ribut sekali pun ambil masa lapan jam juga. Kalau kereta mahal sedap juga bawa laju-laju. Ini naik kereta Proton Wira buruk Mat Sarip ni yang dah menjangkau usia emas. Walaupun usia kereta ni dah lebih sepuluh tahun sebenarnya kereta ni baru sahaja habis dibayar hutangnya. Biasalah, sebab buat pinjaman sampai sepuluh tahun, belum habis semua, refinance sambung lagi lima tahun. Hendak habiskan bayar sebuah kereta ni sahaja dah lebih sepuluh tahun menderita. Sebab tu Mat Sarip berat nak tukar kereta lain.
"Agaknya orang yang beli kereta import yang harganya sampai beratus ribu, gaji sebulan dia berapa agaknya ya?", terpacul pulak pertanyaan keluar dari mulut aku.
"Hah!?", Mat Sarip kehairanan.
"Senangnya orang lain cari duit", aku sambung mengeluh. Mat Sarip macam hairan, tapi dia buat bodoh aje. Kalau dia buat pandai nanti nampak macam bodoh pula. Mungkin itu fikirnya.
Sebenarnya perkara ni kami dah dapat tahu lebih tiga tahun yang lalu. Budak ni, seorang bekas pelajar dari Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dah berjaya mencipta bahan yang menyerupai petrol hanya dari bahan-bahan yang senang diperolehi. Walaupun aku rasa dia ni mungkin genius, tapi dia tak habis belajar. Kena tendang dari kursus Kejuruteraan Kimia di tahun akhir akibat pointer yang tidak memuaskan.
Apa yang dia buat tidaklah salah, tetapi kesannya adalah sangat besar bagi ekonomi dunia yang sangat bergantung kepada petrol. Boleh melayang nyawa dari badan disebabkan kepandaian diri sendiri.
Kami berhenti sebentar untuk mengisi petrol di stesen minyak Shell Plaza Tol Sungai Besi menghala ke Selatan tanahair.
"Isi penuh Mat!", teriakku.
"Aku tahulah.", Mat Sarip menjawab dengan nada berlagak. Aku tengok Mat Sarip tuang minyak V-Power. Ceh! Tak nak mengalah! Kereta buruk ni pun pakai minyak mahal. Mentang-mentanglah bukan duit dia.
Walaupun dah dekat pukul tiga pagi, tapi cahaya lampu di stesen minyak tu masih terang benderang, macam hari siang. Meter harga menunjukkan RM66. Sekejap sahaja RM66 itu akan habis. Sampai Kulaijaya nanti kena top-up balik. Kalau tak top-up memang kena tolak keretalah jawabnya.
Kamipun meneruskan perjalanan.
Bayangkan, jika rahsia bahan api alternatif ini diketahui oleh semua orang. Orang ramai dah tak perlu lagi ke stesen minyak untuk mengisi petrol bagi kenderaan. Petrol boleh dibuat sendiri di rumah! Bahan-bahan yang digunakan masih lagi rahsia, cuma budak itu sahaja yang tahu. Tapi menurut sumber dalaman ANTENA, sebahagian besar bahan yang digunakan ialah air laut!
Air laut kan senang sangat nak ambil. Ambillah berapa banyak sekalipun, takkan habis air laut tu. Tambahan pula, menurut sumber itu lagi, sisa pembakarannya tidak langsung mencemarkan alam sekitar.
Tetapi ini adalah satu permulaan malapetaka kepada ekonomi dunia, khasnya kepada industri minyak!
Apa akan jadi pada stesen minyak yang beratus-ratus buah dalam negara? Bukan satu negara, satu dunia! Boleh muflis dalam satu malam! Apa akan jadi pada syarikat-syarikat minyak dunia yang selama ni gah jadi kaya raya pasal emas hitam ini?
Jatuh bankrap!
Apa jadi pada pelantar-pelantar minyak dia luaran pantai yang berharga beratus-ratus juta dolar itu?
Semua jadi tukun!
Bagaimana dengan negara-negara pengeluar minyak dunia nak hidup jika selama ni mereka bergantung dengan minyak? Jatuh miskinlah pak-pak arab di sana. Pak arab yang selama ni enjoy tak ingat dunia, terpaksalah insaf. Tidak kurang juga negara kita akan kena tempiasnya. Malaysia juga akan kehilangan pendapatan lebih 80 billion dollar US tahun ini! Ingat 80 billion tu sedikitkah? Apa yang boleh di buat dengan 80 billion? Duit sebanyak tu boleh buat lagi 50 biji KLCC! Dari mana nak cari ganti wang sebanyak tu?
Ekonomi dunia akan jatuh!
Bukan itu sahaja. Kajian-kajian mengenai pencarian bahanapi alternatif terpaksa dihentikan. Termasuklah nuklear. Iran dah tak ada alasan untuk meneruskan projeknya. Amerika yang menjadi pengeluar dan pengguna dan penyimpan terbesar minyak dunia juga akan terkedu ekonominya.
Memang benar, cuma 50 peratus dari minyak mentah diproses untuk dijadikan petrol. 50 peratus lagi untuk bahan-bahan lain yang berasaskan minyak. Tetapi ini bermakna industri petroleum yang nilainya tidak ternilai itu akan menguncup sebanyak 50 peratus paling sedikit. Dan tidak hairanlah pengganti kepada bahan yang lagi 50 peratus itu juga akan ditemui setelah penemuan petrol tiruan ini.
Adakah akan berlaku peperangan disebabkan petrol tiruan ini? Ada kemungkinan! Menurut maklumat risikan dari ANTENA, Amerika yang sedang bimbang dengan ekonominya yang semakin teruk saban bulan, telah menghantar beberapa pegawai risikannya FAB ke Johor. Mereka menuduh ini adalah agenda Al-Qaeda untuk menjahanamkan ekonomi Amerika. Korea Utara dikatakan ada juga menghantar agennya untuk merampas formula petrol tiruan itu. Tindakan Amerika ini disokong oleh Kanada dan negara-negara pengeluar minyak dari Timur Tengah. Apatah Singapura, yang menjadi pembodek Amerika, sudah mula menyibuk di Johor. Dalam masa sebulan ni, ramai sungguh pelancong yang berminat melancong di Johor.
Misi kami kali ini adalah sangat mencabar. Kami terpaksa menjejaki budak itu untuk dibawa ke ibupejabat atas faktor keselamatan. Ramai yang sedang memburunya. Kami tahu dia di mana, tetapi risiko untuk bawa dia ke Cadangan Ibu Pejabat Antena Nasional CIPAN itu yang paling sukar. Kami kena hilangkan jejak dari perisik-perisik negara lain. Kalau silap, nyawa melayang.
Dalam pemantauan kami seselama tiga tahun ini petrol tiruan itu hanya dijual dan digunakan di kawasan kampungnya sahaja. Budak tu sudah tersilap langkah kerana cuba menjualnya kepada towkay minyak di pekan berhampiran. Towkay itu pula terus mengadu, pada pihak atasan pembekal minyak.
Apa yang aku pasti, budak tu tak salah. Malah besar jasanya pada dunia. Kalau ada Facebook Pages mesti dah juta-juta yang like kalau tak ada limit. Tetapi, ekonomi, masyarakat, politik dan teknologi dunia sekarang dipegang oleh minyak. Siapa jadi towkay minyak dialah yang paling kaya dan berkuasa. Adakah budak ini berdaya untuk melawan kuasa-kuasa besar ini agar membuang kekayaan mereka? Amat mustahil. Jadi, adakah penemuan dia sia-sia? Bagi aku sejarah akan menetukan.
"Kita nak masuk Kulaijaya atau terus highway Senai-Desaru??", tanya Mat Sarip.
"Woi, kau mengigau ke? Highway Senai-Desaru belum siaplah dol", aku menjawab dengan yakin.
"Dah siaplah. Kawan aku yang duduk Senai ada bagi tahu.", Mat Sarip tak nak mengalah.
"Itu Highway Senai-Ulu Tiramlah. Belum sampai Desaru lagi"
"Dah siaplah", keras sikit suara dia, mungkin pasal nak cover malu agaknya.
"Belum. Confirm belum siap lagi", aku pun tak nak mengalah.
"Kalau kau tak percaya, jom kita lalu", gesa Mat Sarip.
"Ah, suka hati kaulah. Aku cakap belum belumlah. Kau juga yang penat drive nanti ikut jalan jauh.. haha"
Kereta Proton Wira Mat Sarip terus menderu laju melepasi papantanda Kulaijaya dalam keheningan Subuh.
"Eh... minyak kereta ni cukup ke???"
BERSAMBUNG...
gezek episode akan datang... kena kacau puntianak masa tolak kereta.. "Mat lariiiii....!!"
No comments:
Post a Comment